Memaparkan catatan dengan label Kenangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kenangan. Papar semua catatan

Rabu, 15 Mac 2017

Aku Tahu Kau Kuat Mak

Hari ni dah masuk 3 bulan pada tahun 2017. Sedar tak sedar. Makan bulan juga aku tak update story aku dalam ni. Rindu juga la nak menulis. Hari ni hari rabu. Pagi ni nak kerja jam 11. Tapi mata aku dah nak dekat pukul 6 pagi pun masih tak boleh lelap lagi. Kebabun apekah ni. Harap esok aku tak tidur kat tempat kerja.

Cerita dia sekarang, bukan pasal kerja esok. Tapi sejak sejak ni, sakit mak aku menjadi jadi pulak. Mak aku sakit sendi sendi gitu. Tritis kot nama sakit tu. Aku pun tak berapa nak bijak sebut menatang tu. Lama juga la mak sakit sejak arwah ayah strok kali kedua dulu. Masa ayah aku sakit dulu. Boleh tahan jugak la berlawan-lawan mak dengan ayah aku masuk hospital. Dugaan yang mendalam juga masa tu. Sampai masa tu rumah kat kampung ni jadi salah satu persinggahan saja. 

Sejak aku habis belajar ni. Aku makin dekat dengan mak aku. Aku pernah juga mintak kerja di johor baharu. Alhamdulillah dapat. Tapi, aku nak pergi tu. Mak macam tak relakan je. Then aku terpaksa tolak tepi minat aku tu untuk mak aku. Sebab dengan keadaan emak yang tak berapa sihat dan risau kalau aku tak terurus kat sana. Aku tak kesah pun semua tu. Rezeki kat mana mana.

Tapi tak senang juga aku kat rumah ni. Emak ni rajin dia lain macam. Badan tak berapa sihat tu. Lagi emak mengemas keling rumah. Bila aku nak pergi kerja je. Kadang2 emak buatkan sarapan la. Alahai emak ni. Aku tak minta mak susahkan diri mak. Aku boleh makan kat tempat kerja. Kadang-kadang tu aku rasa menyusahkan emak sangat. Terdetik juga dalam hati ni nak jauh dari emak. Sebab tak nak emak susahkan diri untuk aku. Tapi aku sayangkan kau mak. Aku tak nak kau sedih dan susah hati kalau aku jauh dari emak. 

Aku nak emak sembuh macam dulu. Nak emak tabah. Setiap kali aku nak pergi kerja. Bila aku cium pipi kau mak. Aku rasa bersyukur sangat. Sebab aku ada kau lagi emak. Kalau lah ayah ada lagi. Nak je aku cium ayah hari-hari. Macam mana aku cium kau mak. Aku sayang sangat pada mak dengan ayah. Satu aku mintak. Harap emak kuat. Mak jangan pernah putus asa okay. Allah tahu penderitaan mu emak. Sayang emak~

Rabu, 27 April 2016

Kisah 4 orang Makwe dan juga Aku

Assalammualaikum. Hari ni hari rabu. Jam pukul 2. Cuaca panas. Bahang lahabau. Aku sarankan yang mana tunggang binatang 2 roda tu. Lebih baik korang pakai lengan panjang. Bro, bro mane kerja dispatch pakai lengan panjang. Kalau macam posman tu. Korang pakai la stokin tangan. Beli kat supermarket banyak. Kalau segan nak beli. Pinjam la makwe korang punya ke. Mak korang punya ke. Yang penting pakai. Bahaya wo. Kulit kejap je rentung. Aku minggu lepas tak pakai sarung tangan. Habis terbakar bulu roma aku. Alhamdulillah minggu ni tumbuh balik.

Aku bukan nak sembang panjang la kan. Aku duduk sorang-sorang ni. Macam macam memori cinta luka aku terbayang. Almaklum la. Sejak sejak menduda ni. Haha.. Duda jadahnye. Tak kahwin lagi. Mintak dijauhkan je la.. 

Teringat masa tingkatan 3 dulu. Aku ada la follow kengkawan aku. Pergi cari bahan sejarah untuk folio sejarah. Tajuk folio kita orang masa tu "Bangunan Memorial Kebangsaan". Lebih kurang macam tu la. Aku pun tak berapa ingat. Bukan apa. 3 jam lepas punya cerita. Ko tanya aku makan apa pun aku tak ingat. Ni kan pulak kalau nak tanya kisah yang lama tu. Mimpi je la aku nak ingat semuanya. 

Aku singkatkan la eh. Petang tu aku dengan geng pergi la bangunan memorial tu. Cari bahan. Aku jalan-jalan la dalam tu. Aku pun berhenti la. Tengok gambar-gambar kat dinding tu. Ala ala orang seni menikmati hasil karya seni. Aku pun baca la sikit-sikit. Lepas tu aku hembus kat muka geng sebelah aku. Biar subjek sejarah dia boleh score. Haha..

Selesai aku dan geng aku jalan-jalan dalam memorial tu. Kami pun plan la nak balik. Sedang asyik berjalan. Bertembung pulak dengan empat orang makwe. Dah die sengih-sengih. Kantoi ambil gambar depan kiteorang. Kiteorang perhati je la. Si Minah ambil gambar 3 orang ni. Tengok-tengok gambar. Si Minah tak ada dalam gambar. Konon dulu bajet la. Tak ada gambar dalam tu. Makna dia tak pergi. Lepas ni Si Minah ni mintak la tolong aku. "Bang.. Tolong ambilkan gambar kami berempat boleh?". Aku pun kate la okay.

Hawau betul geng aku 2 orang lagi. Dia bahan aku belakang-belakang. Nak je aku tampar muka sorang-sorang. Dieorang ingat aku nak mengatal agaknya. Aku pun tak buang masa. Aku snap la 2 3 gambar. Lepas tu aku kasi balik kamera tu. Cepat2 aku blah. Kang panjang pulak cerita dia. 

Kita orang pun gerak la pergi dataran pahlawan selepas satel semua cari bahan. Masa on the way kita orang turun tangga. Jumpa lagi dengan empat orang makwa tu. Usha baik je. Aku pun tak paham. Dari jauh die sengih2 dekat aku. Aku pun buat bodoh je la. Dah tak kenal. Tiba-tiba nak sengih2.. Tak reti lah aku. Dan dan geng aku boleh sedar lak budak tu pandang aku. Geng aku pun cakap "tu bukan budak tadi ke? yang suruh ambil gambar.". Aku balas "Entah la.. Tak cam lak aku". Lepas tu, part die nak membahan. Die cakap la "Budak tu sengih2 dekat engkau la. Nak kenal kot.". Aku buat derk je la muka. Aku cakap "Tak ada maknanya. Segan je aku". Lepas tu aku blah. Haha.. 

Tengok. Part macam ni pun boleh jadi modal nak cerita kan. Haha. Simpanan untuk kenangan dihari kelak.

Isnin, 11 Mei 2015

Malam Raya Tahun Lepas

Sedang bosan asyik buat benda yang sama hari, hari. Namun bosan ni tak lama. Lepas ni aku dah balik kem untuk latihan persediaan untuk pertandingan nanti. Rindu emak lagi. So that's why cuti ni aku lansamkan dengan emak je. Tapi kesian emak. Aku degil, apa emak suruh. Aku banyak leka dan kadang-kadang tak perasan. Sorry emak. BTW cerita aku malam ni. Aku nak ungkapkan kisah yang dah lepas.

Kadang-kadang tu, benda yang lepas tu lebih bermakna dari yang ada. Sedang asyik aku termenung. Terkenang pulak masa malam raya pertama tahun lepas. Masa tu aku sedang dalam dilema dengan something with someone. Macam dalam drama petang petang. Ada je benda yang tak sengaja berlaku. Sepertinya, raya tahun ni, along, alang dan acik raya di rumah sebelah mertua diaorang. Malam raya tu tinggal aku, emak dan kak mas.


Sedang aku asyik tolong kak mas bersihkan bekas kuih raya dengan kain. Takbir raya berkumandang. Emak sedang baring di lantai. Sesekali aku intai emak. Alhamdulillah emak sedang lena tertidur. Mungkin emak terlalu penat lakukan tugas petang tadi. Aku pun layan je perasaan yang tengah sedih ni. Sebab tak ada benda lain nak buat selain bantu emak dengan kak mas dekat dapur. 

Tiba-tiba malam tu aku rasa sedih sangat. Terasa sangat kehilangan. Sesekali terdengar suara seseorang yang dah 3 tahun kembali menemui ilahi. Rindu aku masa tu mula datang. Dalam sedar dan tidak sedar, air mata aku keluar. Sebab biasanya, masa arwah ada. Aku selalu duduk berbual dengan arwah. Sambil menonton tv pada malam raya. Aku tanya kisah arwah masa zaman kecil dulu. Seronok katanya. Selari membangkitkan rasa terhibur dalam diri aku. 

Serius aku  cakap. Malam tu memang malam raya yang paling sedih yang pernah aku lalui selama ini. Aku bersyukur sebab aku masih punya keupayaan untuk merindui dirinya. 

Jumaat, 10 April 2015

Sem akhir + Projek Tahun Akhir = ???

Assalammualaikum..

Sekarang tepat 1.45 pagi. Fuh! Cepat betul masa berlalu. Memang terlalu awal masa berlalu. Dalam antara sedar dan tak sedar, rupanya aku sudah hampir tiba ke penghujung semester akhir aku di Politeknik Muadzam Shah. Ya, memang dah nak habis da. Sekejap je masa tu. Aku sekarang semester 5. Dan semester akhir aku dipoliteknik. Sebab semester hadapan aku praktikal diluar politeknik. Tapi cerita dia, aku pun tak jumpa lagi tempat praktikal. Tak tahu la bila lagi nak cari. Sibuk memanjang semester akhir ni. Sibuk dengan final year project. Memang kaw kaw punya. Tidur aku pun tak menentu. 

Tapi tak apa, pengalaman ini yang mematangkan fikiran aku. Alhamdulillah, akhirnya aku dapat habiskan sisa sisa final year project bersama ahli kumpulan aku. Sepanjang kami bekerja dalam kumpulan. Aku dapat belajar cara mengatur jadual melakukan tugas dalam berkumpulan. Memang seronok buat final year project. Kalau aku diberi peluang lakukan semula. Aku nak buat lagi. Project macam ni yang dah lama aku tunggu sejak menjejaki belajar disini.


Alhamdulillah... Dengan izin Allah, projek akhir kami bertiga dapat pergi ke EIDA . EIDA ni ialah dimana projek yang kreatif dari setiap jabatan dikumpulkan dan dipertandingkan pada peringkat politeknik. Tapi sayang, projek kami tidak mendapat nombor pada pertandingan itu. Tetapi aku tetap bersyukur, projek aku terpilih untuk ke EIDA. 

Akhir sekali, aku nak ucapkan terima kasih kepada Ahli kumpulan aku yang dah banyak bagi support dan menjadi tulang belakang untuk projek tu. Terima kasih juga pada yang tidak langsung iaitu emak, kakak, abang dan some people yang sentiasa memberi motivate pada saya. I love you all.. Tanpa anda, tak mungkin saya berada disini..

Isnin, 5 Januari 2015

Ops Murni (Askar Wataniah) - Operasi Murni Bantu Mangsa Banjir

Alhamdulillah aku selamat kembali ke tempat belajar aku. Maka dengan rasminya. Semalam, tanggal 4 Januari 2015 aku tamat memberi bantuan kepada mangsa banjir di Pekan, Pahang. Dalam masa seminggu aku di kem 505 Askar wataniah bn4, syukur pelbagai dugaan aku hadapi. Aku akan rindukan detik-detik semasa memberi bantuan disana.

Seramai 16 angota askar wataniah dari politeknik, selamat tiba di kem pada jam 4.30 tu. Angota terdiri dari 12 orang angota pranita dan 4 orang angota lelaki. Walaupun pada hari pertama(selasa) aku tidak dapat ditugaskan ke tapak penempatan mangsa banjir. Aku masih bersyukur kerana aku berpeluang membantu anggota K.A.D menyediakan makanan di cook house. Walaupun aku bukan dari kalangan orang yang berkemahiran memasak. Tetapi Alhamdulillah. Sejak aku membantu, aku dah pandai serba serbi dalam dunia masakan.




Aku mungkin punya pengalaman memasak 4 ke 5 tahun yang lepas. Kerana aku mula menjerumuskan diri dalam bidang katering. Aku bukan la pandai sangat. Aku cuma follow katering ayah kepada member aku. Syukur sangat-sangat, pengalaman 4 ke 5 tahun yang lepas aku dapat gunakan pada umur aku umur 20 an ni. 

Berbalik pada cerita aku di kem. Hari pertama aku takut juga la sebab kali pertamanya aku bekerja dengan angota tetap askar. Alhamdulillah sejak aku berkhidmat dalam masa seminggu tu, aku tidak ada masalah dengan mereka. Mereka memang baik. Aku siap pergi hantar makanan pada angota sukarelawan di tempat penempatan naik lori 3 tan dengan angota tetap tu lagi. Seronok sangat masa bagi bantuan tu. 

Dalam masa yang sama, aku rasa sedih jugak. Sebab penempatan orang kampung disana, habis ditengelami air. Air semakin hari semakin deras dan dalam. Sehinggakan sebelum aku pulang ke tempat belajar, aku diberi peluang untuk membantu mangsa yang hampir hanyut dengan air yang deras. Semasa aku berikan bantuan tersebut. Aku hampir-hampir dibawa arus. Gara-gara aku tergelincir semasa aku berusaha menarik motosikal bersama 3 orang angota lagi. Memang sangat mengerunkan. Aku bersyukur kerana Allah masih meminjamkan nyawa ini untuk aku. 


Alhamdulillah ya Rab..




Isnin, 27 Oktober 2014

Projek Final Aku 50%

Assalammualaikum..
Hari ni aku nak update sikit. Memandangkan sekarang aku tak boleh nak tidur. Orang kata tak boleh tidur malam ni, salah satu penyakit. Betul ke? Huh! Harap tak la kan.. Hehe..

Memandangkan sekarang tengah musim final exam. Aku dengan selambewwww je tak study hape lagi. Tapi tak habis-habis dengan komputer. Jangan kerana sem lepas aku dapat 3.xx aku dah lupa diri. Eh! Insha Allah tidak. Aku masih aku yang dulu. Walaupun entry sebelum ni ada sedikit kesedihan. Tapi itu semua tak ubah pendirian aku kerana aku adalah aku.. Cewah.. 

Aku tak nak borak panjang. Cuma nak bagi tahu. Aku on the way, membangunkan sebuah system. Memandangkan semester akhir hampir tiba. Jadi team programmer wajib bangunkan satu projek untuk pemarkahan projek akhir kami. Alhamdulillah. Dua benda penting dah pun lepas pada sem ni iaitu pembentangan kertas kerja dan pembentangan analisis dan disaing projek. Syukur sangat sebab aku dapat panel yang membangunkan aku. BTW aku harap segala komen panel dapat buatkan aku dan team member semakin kuat. 

Bagi aku apa je la sangat setakat kene kritik dengan panel. Ia tak jadi masalah bagi aku. Tapi aku anggap ia satu nasihat yang terbaik dalam diri aku. Orang biasa kritik ni bukan sebab dia rasa diri dia hebat. Tetapi dia cuba buka ruang baru untuk kita. Walaupun aku banyak bebel dengan ahli kumpulan aku pasal si panel kritik. Tu tak bermakna aku tak boleh terima apa dia cakap. Tapi aku cuba ambil iktibar dan cuba perbaiki masa pembangunan projek kami nanti.

Alhamdulillah. Projek aku dah 50% siap buat masa ni. Cepat kan? Tapi tu hanya imaginasi aku je yang dah siap tu. Belum maintainance bagai. Dah boleh guna. Tapi mungkin tak memuaskan pengguna. Aku cukup tak puas hati kalau benda tu dah jadi. Tapi masih ada kelemahan. Meskipun design die gempak sangat. 


Mempersembahkan.. Ni salah satu part dari system aku. Selekeh kan? Relax la.. Baru testing power.. Belum testing diluar kotak pemikiran aku lagi. Yang real punya. Insha Allah aku akan buat lepas aku habis final dan lepas habis kem tahunan Askar Wataniah. Masa tu mungkin otak lebih fresh. Sebab baru lepas tengok dunia luar kan.. 

Insha Allah apa-apa perkembangan aku. Aku akan update dari semasa ke semasa. System ni aku bangun diatas segelintir kawan-kawan kelas aku. Aku harap dia orang sudi la kritik system yang masih belum stabil ni. Aku sedang cuba yang terbaik sebelum aku melaburkan tirai meninggalkan Politeknik Muadzam Shah. Aku nak la juga tinggalkan sesuatu yang membanggakan untuk Politeknik Muadzam Shah. Insha Allah.. 

Reader, aku harap korang dapat doakan kami yer. Sayang reader aku ni.. 
Komen la sikit.. Baru nampak sape yang sokong kami.. Hehe..
Thx.. :D

Khamis, 9 Oktober 2014

Anak anak kecil

Masa balik kampung hari raya haji hari tu. Aku duk melayan anak anak je. Seronok jugak la. Sebab dah lama tak jumpa. Rindu giler kat anak anak ni. Makin comel anak anak busu ni.. huhu

Yang besar tu nama dia Adam Haikal. Dia adalah important person bagi aku. Sebab tarikh die lahir ialah tarikh ayah aku kembali. Aku cuba anggap dia sebagai penganti ayah. Tapi tetap aku tak mampu. Sungguh ayah tak ada penganti.

Yang gambar dengan aku tu. Nama dia amsyar. Dia seorang budak yang cerdik. Setiap 2 minggu aku balik. Makin cerdik aku tengok dia. Naik geram lak. Dia juga seorang penanda untuk orang yg special untuk aku. Sebab miss lover suka pada amsyar. Sebab katanya amsyar comel. Thats y setiap kali aku tengok amsyar aku teringat kat dia dan makin kuat syg aku pada miss lover.

Untuk anak buah busu yang lain. Korang semua special juga bagi busu. Sebab anak anak la nenek ani tak terlalu sunyi lepas atok md som meninggal dan ateh,busu belajar jauh. Busu sayang korang nakk..

Ahad, 26 Ogos 2012

PLKN : Character Building

Assalammualaikum....

Hari ini aku ingin bercerita serba sedikit tentang aku masa duk plkn dulu.. 
P- Program
L- Lenyek
Paysat, Cikgu Iefa, Cikgu Ann dan Palee
K- Kewangan
N- Negara

Kononnyer la Lenyek kewangan Negara... Tapi bagi yang hargai program yang dijalankan ini... Mesti mereka tidak rasa menyesal dan rasa sia-sia apabila berada dalam program ni...

First aku masuk, bosan kot... Sebab tak ada aktiviti lagi, kengkawan satu sekolah pun lain bilik... Lalu membuatkan hati ini berbesar hati untuk mencari kawan baru dari tempat lain seperti Alor Gajah,MELAKA, Pekan,PAHANG, dan JOHOR (Muar, Batu Pahat, Kulai .......)

3 Hari selepas aku register di KEM YPJ SEKAKAP, MERSING, JOHOR...

Mula dah aktiviti.... 
Iaitu... CHARACTER BUILDING atau dikenali dalam bahasa singkat CB (Bukan Cha* C*Ba*  <MENCAROT) 
Cikgu Ann & Aku (Hasbullah)

Aku kelas ke 2 kot... Nama kelas tu Inspirasi... Dan Kedudukan dalam kumpulan i-Ten (Inspirasi [10 orang ahli]) 
Nama Ahli kumpulan : 
  1. Hasbullah
  2. Muiz
  3. Shukri
  4. Toh
  5. Loh
  6. Gan
  7. Sue (Suhaila)
  8. Hana 
  9. Mira (Hasmira)
  10. Zoe
Seronok kot... Dalam setiap kelas ada 2 orang cikgu MULTI SKiLL
iaitu cikgu ANN dan cikgu IEFA... They is good teacher...
Dalam kelas tu, aku belajar mengenali diri...
Mengenali kawan (buddie)
Dan .............
Sporting beb! Dengan gaya toreh getah la... Gaya pekerja kedai makan la... (Sebelum mula kelas ada menari dipanggil GERAK CERIA)


 p/s : Yang dapat PLKN mesti akan rasa keseronokan GERAK CERIA....

Selasa, 24 Julai 2012

Segment : Berbuka di kedai makan (Tempat Kerja)

Assalammualaikum…

Hari itu masuk hari ke-3 kita berpuasa… Dan hari pertama aku kerja dibulan
Ramadhan yang mulia ini… Dan Menu kita hari ini ialah :

Sirap Bandung (Aiskrimsoda),
Bukan Gambar Sebenar (Gambar Sebenar Lagi Best Dalam Periuk.. Hahaha)
Kurma (Family Store seberang jalan) dan
Sedapnyer...  (Nanti aku share kebaikan Kurma)

Nasi Lemak Bungkus….


     Yeah… Menu yang kurang menarik dalam hari-hari aku berbuka.. Tapi takapa, asalkan dapat makan.. Alhamdulillah…

p/s : First time berbuka ditempat kerja

Ahad, 22 Julai 2012

Hari Pertama Berpuasa

Assalammualaikum....



Kali ini aku nak ceritakan serba sedikit tentang aku berpuasa hari ini... Sebelum itu aku nak mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak.. Mesti ada yang seronok apabila ketibaan bulan ini... Bulan yang baik.. Dimana pintu syurga terbuka luas, pintu neraka tertutup rapat (serta pintu jamban tertutup rapat X-D ...). Pada bulan Ramadhan juga syaitan akan diikat..

Hari tu kan aku mulakan dengan

"Sahaja aku berpuasa, pada bulan Ramadhan (esok hari) tunai kerana Allah hutta'ala"

Babak Pertama
Allah Huakhbar2x ......(Azan Subuh)

Aku : Kroh3x~(Terlajak siut sampai ke tengah hari)

Babak Kedua

Dum3x (Bunyi pintu yang macam nak tercabut apabila ditendang dan diketuk oleh kak Lang)

Aku : Kroh3x~(Membute lagi... Makhruh woi)


Babak Ketiga

Vromm.... Bawak moto macam nak gila.. Main cilok masa pergi town tadi...

Aku : "Mati tak ape.. Masuk syurga" (Syurga kepale Hotak kau...)


Babak Keempat

Mari kita mulakan segmen "Lauk-lauk Berbuka Nanti bersama Cheff Ajul, Cheff Mak dan Cheff Abul" 

Aku : Aku Junior Cheff.. Belum Master.. Tu pasal nama duduk belakang.. Hahaha...

p/s : Tido selalu Makhruh tau~

Khamis, 19 April 2012

Babak-babak Reunion

Assalammualaikum dan selamat sejahtera kepada yang bukan Islam~

Hari ni saya selaku encik blog ni nak cerita serba serbi tentang reunion SKBSM '06 pada 18 April semalam... Jujur aku cakap, kawan-kawan yang datang semua sporting la kan.. Tu yang buat seronok tu..

Situasi pertama ( 1 )
O Vrom!! Vrom!! Stand by dekat rumah member , tunggu ketibaan geng-geng yang lain.. Ada yang naik motor dan ada yang naik kereta.. Tumpang kereta member je.. (Malas nak naik moto.. Hehe..)

Situasi kedua ( 2 )
O Rehat sebentar bersama kit-kat.. Pergi tuang minyak.. Memang la kena tuang minyak penuh-penuh disamping menunggu sorang lagi member.. Kang tak pasal-pasal moto Shock STOP kalau tak isi minyak!

Situasi ketiga ( 3 )
O Tiba di Wonderland.. Sakai, boleh pulak geng lepak dekat depan n try-try moto member lain.. Haha.. Then, ada rombongan sebijik kereta lagi (dari pegantin pompuan)..

Mood Masa tu : Alhamdulillah ramai jugak member yang sudi datang walaupun kena keluar fulus sikit.. huhu..

Situasi keempat ( 4 )
O "Hello! Awak dekat mana, datang dekat depan Wonderland cepat!! Member dah mengamuk...", Keadaan tergesa-gesa,  kelihatan ada member yang ada dah hentak-hentak kepala dekat kereta sebab terlalu jenuh menunggu.. Keke..

Situasi kelima ( 5 )
O Tong-tong duit support member yang tak cukup duit untuk beli tiket masuk.. No hal la! Kita jumpa bukan selalu.. ^^V

Situasi keenam (6 )
O Lepak-lepak dalam toilet, bak kate member "bukan selalu jumpa tandas yang besar macam ni".. Ciss! Haha..

Situasi ketujuh ( 7 )
O Simpan beg dalam tandas dan kunci tandas dari dalam semata-mata tak nak keluar kan duit untuk sewa loker rm5 untuk sekali guna.. Hihi.. (Jangan tiru aksi ini)

Situasi kelapan ( 8 )
O 1,2,3 BomM! "Kan dah kena campak dalam kolam, banyak cakap lagi... (hahaha)"

Situasi kesembilan ( 9 )
O Naik Turun, Naik Turun, Cis! Buang peluh jer... Naik pakai kaki, turun pakai gelongsor.. Weeee....

Situasi kesepuluh ( 10 )
O "Nah mak cik! Ada orang bagi buku ni... Dia cakap Selamat Hari Lahir..(Sambil muka dah merah)", bagi member hadiah hari lahir yang kebetulan hari tu...

Situasi kesebelas ( 11 )
O "WOoii!! Bawak kereta pelan-pelan la... Kecut perut den ni ha! Bawak kereta macam cerita taxi tu ha! Puih! Aku tak nak rasa naik kereta mayat masa umur sekarang"
(Berhati-hati dijalan raya)

Situasi keduabelas ( 12 )
O Pewg! OMG! (_ _!!) "Cis! Main bowling (at MIBC) ni asyik buat aku tension jer... Longkang-longkang dan longkang.. Oh Jiwa! Boleh sakit jiwa macam ni"

Situasi ketigabelas ( 13 )
O "Wuhaaa! Jangan tinggal daku! Semoga berjumpa lagi kawan-kawan (Bila sketsa sedih dimainkan.. Cehh!)", Berpisah semula.. Sesungguhnya pertemuan dan perpisahan Milik Allah.. Dan Setiap pertemuan, ada perpisahan...


p/s : Seronok dapat jumpa korang semua... Terima kasih kerana sudi jumpa dengan kawan-kawan yang lain.. Kalau ada peluang.. Insha Allah.. Kita buat lagi.. 

Rabu, 18 April 2012

Seronok BerPLKN

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada yang bukan Islam(kalau ada yang melawat la).. Maklum la ni blog macam muslim's punya je~

"Kami Wira-wirawati negara!"

Ehem! Tiba-tiba je keluar lak lagu PLKN.. Haha!! Seronok weyh pergi PLKN.. Macam makan langsat(tak ada kene mengenakan?? -,-')

Kalau dekat sana tu kan.. Macam-macam aktiviti ada.. Main air ada.. Main senjata ada.. Main Peluh pun ada (Kawad la kan).. Tapi aku tak tipu la, dalam kem PLKN all the best... Cumaa... Cumaa... Kena bangun seawal jam 5 pagi dan kena denda kalau buat masalah.. Perkara paling best..

Yang dapat PLKN tu, dan baru sahaja nak rasa.. Jangan la rasa menyampah.. Dan pergi sana, jangan pandang dengan mata kasar, tapi pandang la dengan mata hati... Baru la dapat rasa keseronokannya..

p/s : Pergi PLKN tu.. Nanti dia ajar jadi badut(JUGEL)... ;p

Isnin, 26 Mac 2012

First Time Menembak (PLKN)

Assalammualaikum
Selamat Sejahtera

Hari itu langit masih lagi gelap, aku dan kawan-kawan terpaksa bangun dan kemas kan diri lebih awal kerana kami akan bergerak ke LAPAN Sasaran.. Untuk latihan menembak.. Pagi macam biasa, pukul 5 pagi aku dah bangun untuk mandi dan bersiap-siap untuk menjalani hari-hari aku. Beza hari itu, aku terpaksa memakai baju LORENG PLKN.. Berkasutkan Boot.. Ia agak menyusahkan. Tetapi aku cuba membiasakannya.

Pukul 6.50 bas bergerak ke 8 sasar.. Pada pukul 8.15 pagi, kami tiba ke destinasi.. Peh~ Menyirap jerk aku, mana taknya, aku baru je nak lelapkan mata.. Tahu-tahu je....

"TURUN-TURUN, dah sampai"

WarghhH!

***
Tokey tempat pun, bacakan peraturan sebelum menembak...

"Okey.. Anda semua tak boleh... Bla..Bla..Bla.."

Haha~Dia pun habis bebel.. Then dia buat la demo menembak... First dust tu.. Peh..

Aku cakap la dalam hati,"Kepala hotak dia.. Kuat giler bunyik, aku dah la lemah semangat.. Puih"

Then baris/Detail pertama pergi menembak.. Masa dia cakap "Sedia.. Tembak", Aku dah mengigil lak.. (Penakut sangat.. Memang ler). Nasib telinga sebelah aku dah sumbat dengan penyumbat telinga... Then dus yang pertama pun dilepaskan...

PAMM!!!

Ala.. Cenonit jer bunyik.. Macam bunyik bom teloq je.. Haha~ Masa first je penakot sikit... Lepas detail 1 detail 2 lak masuk..Kebetulan tu detail aku.. Aku pun masuk la... "Pakcik" tu suruh aku baring, then relax sementara dia tukar kan peluru.. then Tokey tempat pun jerit..

"Sedia!Tembak!"

Aku relax lagi la.. Sebab pak cik sebelah aku ni belum settingkan baik punya.. Haha.. Tunggu, punya tunggu, aku punya M16 pun siap.. Dia settingkan kedudukan M16 pada bahu.. Then dia suruh aku target betol-betol..

Sedang khusyuk aku menarget... AIK!!! Tangan asal la engaku mengiggil ni! "Pakcik" tu pun cakap...

"Relax..."

(Baik pakcik.. aku cuba relax la ni.. Tangan aku tiba-tiba je kene Pakinson.. Mana la aku tahu...)
PAMMM!!!Akhirnya dus yang pertama aku dilepaskan.. Pakcik tu pun cakap....

"Baguss! Kekalkan Target"

Tempat target tu, aku bayangkan kominis jerk..Baru puas Hati.. Haha

PAM!! PUM!! PAM!! PUM!! PAM!!

Abis da peluru.. Baru la puas.. Haha..

***
Bila tengok keputusan....

Hasbullah Md Som = 88%

PeH~ Macam tak percaya je... Baru puas hati dapat tembak kominis.. Gara-gara dendam, markah menembak aku dapat macam tu.. Haha~



^^V Peace!

Khamis, 22 Mac 2012

Cikgu + SPM + Wak(Pak Guard) = 1 Hari di Sekolah

Hari ni semua pelajar SPM 2011 pulang ke sekolah masing-masing untuk mengambil result SPM.. Pada mulanya memang merisaukan lah.. Dulu komandan cakap pukul 10 pagi SPM keluar. Tapi tadi masa aku pergi, dia cakap keluar pukul 11 pagi. Menyirap jerk~

Sampai-sampai je, aku digemparkan dengan hutang perpustakaan sebanyak RM23.50. Peh~ Peh~ Nak ambil keputusan SPM pun susah, kena keluar duit lagi.. Result SPM tak dapat lagi, terpaksa la aku lepak dengan cikgu Rashid Lizan dekat meja blog Ehsan.. Tiba-tiba cikgu tepuk belakang aku......

"Bull, apa cerita. Dah habis sekolah bukan nak datang rumah cikgu",cikgu Rashid cakap

"Saya baru keluar PLKN la cikgu, lagi pun macam mana nak CONTACT cikgu, No henpon pun tadak",aku terangkan kenapa aku sepi diluar sana.

"Tak ada no henpon?? Nah... Nah... Ambik-ambik~ 017-............"

Ohh cikgu.. Kenapa cikgu tanya saya je? Kawan-kawan yang lain cikgu tak nak tanya ke?? Kecik hati dia orang.. [Cikgu sayang saya ehh... Kantoi... Hahaha]

***
Lepas cikgu Azhar n Kaunselor berucap, perhimpunan untuk penyampaian hadiah untuk pelajar cemerlang SPM 2011 pun bersurai..

Aku melangkahkan kaki dengan lafas Basmallah menuju ke blog Ehsan semula untuk mengambil keputusan SPM.. Dup~ Dap~ Dup~ Dap~ Layan perasaan yang risau ni, tak perasan dah sampai dah dekat depan cikgu Rashid Lizan..

"Cikgu, saya punya Sijil SPM??", <~[bajet cikgu hafal nama aku]

"Hasbullah, nah sijil SPM kamu",hulur cikgu Rashid kepada aku


Apabila aku tengok.. Oh Tidak!!!Macam nak terbalik da. Kenapa keputusan aku tak cukup baik.. Dalam kertas tu tulis macam ni......

Bahasa Melayu     B
Bahasa Inggeris    E
Agama Islam        B
Sejarah                B
Matematik           C+
Applied SC          B
Aplikasi EE          B+
Prinsip EE            B+

Tapi Alhamdulillah la aku punya keputusan ni tak ada gagal n banyak B.. Tengok kali kedua.........

"APA!!!!! SEJARAH AKU "B", MATEMATIK AKU "C+", BAHASA MELAYU "B", AGAMA ISLAM "B"

Wow~ Amazing... Aku pun macam tak percaya tu sijil aku. Sebelum ni, subjek tu semua aku lemah, selalu dapat D, E, G... Tapi SPM dapat B, C...

Alhamdulillah.. Syukur sangat-sangat.. Walaupun aku tak ada "A", mungkin ini permulaan aku untuk menuju kejayaan yang lebih cemerlang..

***
Masa nak keluarkan motor je, Wak (Pak Guard) panggil aku,

"Kamu kesini"

"Ada apa wak, (hempok kang, Nak??)"

BLA... BLA... BLA...


[Rupa-rupanya wak mintak maaf dekat aku kalau-kalau ada buat salah.. Ada jugak warga sekolah tu yang masih ingat n kenang jasa aku... huhuuuu~Terharu.. :') ]

p/s : Apa pun keputusan SPM yang kita dapat, kena terima... Kalau ia gagal, kita perlu tahu, mungkin Allah telah menyediakan sesuatu kejayaan yang lebih hebat berbanding sekarang.. :)

Isnin, 19 Mac 2012

Denda - denda PLKN ^_^

Masuk hari ni dah 2 hari aku balik dari PLKN~ 
Tiba-tiba rindu pulak dekat Jurulatih n kengkawan.
Masih aku ingat lagi, kalau dekat PLKN tuh, pagi-pagi dah kena bangun,
sebab ada PT(Senaman) pagi..
Hari-hari pukul 5.30pagi je, wisel JURULATIH bertugas berbunyi,
PRETTTT~
(Memekak jer, nak tido pun tak leh)
Tapi kan, alhamdulillah selama aku dekat PLKN, 
tak ada la sampai jurulatih tiup wisel sebelah telinga aku.
wisel yang pertama dibunyikan jer, 
mata aku dah terbuka luas, 
melihat syiling putih di atas kepala.

Biasanya kalau PT (senaman) pagi, mesti Jurulatih suruh buat

PT 10 Sebanyak 10 or 20 kali
PT 10 = Lompat Bintang

Kalau tak PT 10, mesti cikgu suruh buat

Frast Support sebanyak 10 kali
Frast Support = Pumping

Bengang gak la. Biasa kena buat menatang tuh,
Masa bangun lambat,
Masa lambat berbaris
dan kebiasaannya Ketua Jurulatih (KJ) 
suruh kitaorang buat

Start Jam~ (entah betul entah tidak aku eja)'
Bende ni buat macam ni, kena cangkung
pah tu, tangan dua2 kat atas tengkuk
lepas tu kaki kiri ke depan n kaki kanan ke belakang
bile sebut up je tukar kaki kanan ke depan kaki kiri ke belakang

ohh~ Bosan giler~ 
kadang-kadang kena buat sampai 50 kali~
Sakit wow kaki~

Tapi itu semua kenangan Terindah bersama kawan-kawan PLKN yang lain~

Ahad, 25 September 2011

Mimpi dan Fantasi....

Hari ini, aku mahu duk story-story about my dream.. Pada satu malam yang dingin, aku lepak-lepak dalam ruang facebook dan ruang youtube... Macam-macam aku buat.. Huhu... Dekat facebook aku duk play-play games . Hihi... Maklum la malam tu aku bosan tahap cipan... Hinggakan diri ini rasa macam mahu gila disebabkan Terr-lampau bosan...

Aku main game empires and allies dekat facebook.. Maklum la.. Game tu top dekat kelas EE1 nih... Mejoriti member kelas aku semua main game tuh... 

Giler ahh!! 

Game tu melibatkan member online Fesbuk tuh... Tu yang syok.. Ada fight.... Huhu... Mujurlah aku salah seorang insan yang lemah dalam games tu... Mana taknya.. Level aku kemain low lagi... Tapi aku kuat la jugak an.. Sebab dapat tewakan musuh yang jajah tempat kawan aku... Huhuhu.... ( Hebat la sangat an )

Then aku tidur la selepas penat bermain games.. 

Intro ~>

Dalam istana yang agak besar.. Tetapi keadaannya seperti tak aman.... Berdentam dentum.. Macam bunyi bunga api masa malam raya... Huhu... Tup-tup... Seorang raja Omputih berkata : "General Hasbullah... Kami memerlukan bantuan kamu untuk menewaskan musuh kita",(dalam loghat Omputih)... Masa tu aku pun terkejut jugak la.. Bila masa tah aku jadi general... Yang aku tahu masa tu aku hanya seorang pelajar sekolah yang agak muda dan macho... (ehem... Terlebih perasan la pulak.. Hihihi...) <~ Korang jangan risau dalam mimpi je nih...

Aku pun terima arahan raja tersebut... Then aku berlari ke pangkalan tentera untuk menyediakan tentera dan strategi demi menyelamatkan negara... Cewahh.... 

"Tentera-tentera ku sekalian... Aku memerlukan khidmat kamu semua untuk menewaskan balaci yang telah memusnahkan tempat tinggal penduduk di negara ini... Ehh! Sial la! Puih!", lalu aku meludahkan ditepi batu bata... Hahaha...

*****

Akhirnya perperangan taman... Dan aku ditabalkan sebagai pahlawan negara dihadapan musuh-musuh yang telah berjaya yang aku tangkap... Then aku datang dan capai kepala ketua angkatan musuh A.K.A lanun yang menganas tuh... 

"Oi ! Kau ikut aku... Aku nak kau mintak maaf pada penduduk seorang demi seorang.. Kalau tak.. Aku sekehh kepala hang sat gi.. Mau??", aku cakap dengan tegas....

Dia pun duk follow je apa yang aku cakap... Haha.. Maklum la... Aku kang hero dalam mimpi nih... Cehh!.. Aku tengok muka ketua diaorang macam mintak penapak jer... Sedey giler beb.. Haha... 

***
Aku pun tersedar dari tidur... Aku teringat balik... Ni semua kesan dari main game empires and allies tuh la... Sampai terbawak-bawak dalam tidur... Hm...  Gelak jugak aku seyh... Mana tak nya musuh yang punya ganas boleh dengar cakap orang macam aku.. Haha.... 

~The End~

p/s : Mimpi tu mainan tidur je beb.. Toksah percaya ape yang korang lalui... Syaitan semua tuh... 


Ahad, 18 September 2011

Hamster Datang Dari Bilik Mandi

Jeng, jeng, jeng...... Tajuk catatan aku hari ini nak gempak eh?? Haha... [ Otak tengah biol nih ]... Hamster aku tak tahu la dari mana... Dari laut ke, Dari langit ke or dari hutan ke.... Aku nak story sikit tentang hamster yang aku jumpa.... Pertemuan aku dengan aku dengan hamster ni agak menarik

 = ="   <~ Giler ahh!!

Pada petang tuh, dah pukul tujuh lebih da... Gelap da masa tu... Aku pun ambil la tuala mandi... Nak masuk bilik air untuk mandi... Maklum la lelaki, kuat sikit berpeluh... Bau bacin ma... Aku bau badan sendiri pun, dah macam nak tumbang da...Pekung tahap cipan... Malas mau citer la.... Macam kena rendam dengan air kopi belakang rumah aku je...

Aku pun main pusing-pusing kepala paip dalam bilik mandi tu... Nasib baik kepala paip tu besi.. Kalau tak, aku rasa dah patah da... Maklum la tangan aku ni, tangan berbisa.. Hahaha... [ Tipu lebey ]..  Aku pun mandi la macam biasa... Sabun celah-celah ketiak yang duk berbau pekung dari tadi.... Perh!! Aku rasa macam nak pengsan jer... Nasib baik lah sabun yang aku guna tuh wangi.. Haha..

After mandi.... Aku pun lap-lap badan dan pakai baju.... Tiba-tiba je.....

Taraaaa.... [ Menatang kat bawah ni keluar ]
Kaler hamster yang aku jumpa tu sama lebih kurang macam yang ni...

Melompat terus aku... Maklum la... Haiwan ni kan sepisis tikus... Lagi pun tikus dekat rumah aku berlambak... Kalau korang nak tahu.. Rumah aku ni empires tikus... Haha... Bla... Bla... Aku pun duduk cangkung perhatikan menatang tuh... 

"Aik! Baik pulak tikus ni... Tikus dekat rumah aku selalunya hyperaktif... Eh!! Ade bulu pulak... Ni tak salah lagi.. Hamster ni... [ Sebab dulu aku pernah bela hamster sekali ]"

Aku pun tangkap la dia.. Then simpan hamster tu dekat belakang rumah aku... Aku terpaksa la letak dia dalam aquarium kosong belakang rumah aku tu... Bukan hape... Dia keluar secara Suprise, aku pun bagi la dia tempat yang suprise... Haha.... 

Nanti aku nak hantar hamster tu pergi sekolah... Bila dia dah pandai nanti aku nak suruh dia jadi macam yang bawah ni... Haha... Gempak seyhhh....



p/s : kalau korang jumpa haiwan yang cute lagi baik tu.. Jangan la korang seksa dia.. Haiwan pun mempunyai akal...


Sabtu, 10 September 2011

Rindu Ayah

Gambar Hiasan
Ayah... Ayah tahu tak yang abul rindu ayah... Raya ni tak meriah tampa ayah... Tak terasa pun... Miss you dad... I missing somethings yang amat berharga dalam hidup abul...

Malam tu abul nak tidur, abul selimut badan dengan kain pelikat ayah.. Yang selalu digunakan ayah masa ayah sakit.. Kain pelikat tu dulu asalnya, abul guna dekat hostel masa duduk asrama dulu.. Tapi mak gunakan kain pelikat tu untuk ayah, walaupun kain pelikat tuh kain yang paling abul sayang... Untuk ayah, abul tak kesah..

Masa ayah sakit dulu, kain pelikat itu la yang digunakan untuk selimut ayah ketika kesejukan... Kini, kain itu juga abul buat selimut diri abul, kerana abul betul-betul rindukan ayah... Masa nak tidur tu.. Tiba-tiba sedih sangat... Tiba-tiba je, abul tak fikir sangat masa ayah sakit dulu... Abul tahu kalau abul fikir.. Abul akan menangis..

Kenapa ayah pergi ketika sekarang, abul kehilangan tempat mengadu... Ya Allah, kenapa kau ambil ayah dari hidup aku ketika ini... Aku amat memerlukan ayah,, Teramat-amat memerlukan... Itu saja la tempat aku mengadu kasih...Terasa macam nak ikut je ayah pergi. Tapi aku tahu, aku sebagai hamba Allah yang hidup dimuka bumi ini mesti teruskan hidup..

Ketika ayah sakit dulu, aku selalu tengok ayah menangis... Seksanya ayah ketika itu... Kesian ayah... Ya Allah, Sesungguhnya engkau maha pendengar dan maha kasihani... Engkau tempatkan la ayah aku dikalangan orang-orang yang beriman... Aku redha engkau ambil ayah dari aku dan keluarga aku....

Tapi satu aku pinta, bantu la aku, kuatkan la semangat aku untuk teus maju kehadapan..............

Mood : sedih Sangat-sangat.....Aku tulis catatan ni penuh air mata kerinduan kepada ayah... Hope satu hari nanti aku dapat peluk ayah  lagi bagaimana aku pelik ayah buat kali terakhirnya....

p/s : Kalau ada ibubapa.... Jaga mereka denga baik.... Jangan abaikan mereka...

Rabu, 3 Ogos 2011

Blog OH Blog!

Assalammualaikum kepada pembaca Bulla a.k.a AKu... Fuh! Hari ini genap 3 hari bulan ramadhan berlalu... Penat?? Jauh sekali, walaupun tak makan dan tak minum... Aku masih aku, yang cuba untuk terus bergiat aktif dalam kelas mahupun diluar sekolah...

Target aku hari ini... Tak lain dan tak bukan melepak je la... Kenape melepak eh?? Sebab cikgu-cikgu malas nak mengajar ler tu... Maklum la hari pertama sekolah dibulan Ramadhan, masing-masing penat melakukan tugas masing-masing... Pada pagi tu, selepas waktu MPAV aku lepak la dalam kelas bersama-sama member aku untuk memBAHANkan member aku dengan sorang perempuan dalam kelas aku ni... Haha... Punya malu la member aku tuh apabila

"Wah!! Masyuk la apek, kapel dengan Y+++e."

haha... Ini semua berpunca dari fesbuk la nih... Syok juga tengok kawan aku ni marah (Tetapi muke senyum, pelik aku dibuatnya)

***
Masa waktu BM aku dan rakan sekelas diarahkan pergi ke Pusat Sumber, seperti biasa. Kalau dah masuk Pusat Sumber tu, semua buat kepala masing-masing la... Ada yang main chess la... Ada yang siapkan kerja Bi la... Dan ada yag baca majalah yang telah sedia ada di Pusat Sumber Sekolah...

Tiba-tiba... Ustazah lambaikan tangan ke arah aku, syarat untuk memanggil aku...

"Apa la ustazah nak suruh aku buat kerja ni.... :'( ", bicara aku dalam hati...

Aku pun bingkas bangun dan menuju ke arah ustazah.... dan.....

"Bulla, ada kerja tak?", ustazah tanya seolah-olah ingin meminta bantuan..

"Tak ada, tapi cikgu dah ada dekat depan...", pantas aku menjawab..

"Oh! ye ke... Tak apa la... Ustazah nak mintak tolong tanya guru fasal bulan membaca tempoh hari", ustazah terangkan kepada aku niat beliau...

Aku pun lihat nama guru tersebut... (Mak ai... Mana la aku kenal cikgu ni.... Aku ni dah ler kureng bab-bab fasal cikgu ni.. Maklum la bukan masuk SPM).... Aku pun terus menyampuk menukar topik....

"Ha!! Ustazah, PSS Sekolah kita terpilih untuk pembentangan BLOG PsS", saja tukar topikk... Wahal aku malas nak naik turun bukit yang jarak antara bilik guru dan PSS dalam 300m... huhu

Ustazah terperanjat, then dengan pantas ustazah bangun dan menuju ke komputer PSS untuk mengetahui seberapa jauh kebenaran kata-kata aku tadi....
Berkata dalam hati--->  "eleh! Ustazah tak percaya pada aku la tu... Ingat aku penipu ke"

***
Aku kena la cari pelajar-pelajar yang masuk pertandingan blog tuh... Alahai... Malas betul la.... Buat penat kaki je... Aku bertamankan mustakim menuju ke bengkel diaorang... Perh!! Panas je hati aku... Nak tahu kenapa?? Ada la sorang cikgu ni.. Aku dah bagi salam. Punya la pekak dia ni... Lepas tu cakap aku pulak tak ada adap then tampar muka aku sebab tak bagi salam... IsH!! Nasib baik tak tercabut pipi aku... Kalau tercabut pipi aku yang gebu ni...[ perasan la pulak aku ni ] Dah aku cabut misai dia...

Tapi tadi masa dekat sekolah memang penat la weh!! Sabar je aku ajar 3 orang budak Form 4 yang masuk pertandingan tuh.... Main susah lagi dia nak tangkap... Dan tak fasal-fasal aku didera dan diseksa untuk join group BLOG PSS tuh untuk genapkan 4orang ahli...[ sebab masa tu tak cukup orang ]

Tak fasal-fasal bala datang lagi... Aku dah modify blog tu pun dah kira okeh la... Ni nak kena join pembentangan tu pulak... Tak Sukeeeeee

Mood : Sabor je lah~

p/s : Korang jangan la jadi terlalu buta IT yerkk

Sabtu, 30 Julai 2011

Sejarah Perit Dalam Hidup Aku (Part3)

Assalammualaikum
Hari ini aku mahu tamatkan cerita mengenai Sejarah perit dalam hidup aku.... Walaupun berat hati ini untuk menyambung cerita ini.. Namun aku kuatkan semangat untuk terus menyambung tutur kata aku pada catatan aku yang lama dan masih tergantung.... 

Last Part--->

Aku dengan perasaan sedih mengangkat jenazah ayah untuk dinaikkan ke atas papan jenazah untuk diusung ke masjid... Abang Zul menyuruh aku pergi ke masjid menaiki motor supaya aku dapat membantu sekiranya terdapat kekurangan barang... Ketika abang aku dan jiran sekampung mengangkat jenazah ayah ke masjid, dari masjid aku terlihat cahaya matahari memancar di atas sejadah yang menyelimuti jenazah ayah..

Aku dengan segera pulang ke rumah untuk mecari payung, agar dapat aku redupkan jenazah ayah ketika dibawah cahaya matahari... AKu pun mencari dan terus mencari payung.... Tiba-tiba aku terlihat dari jauh payung yang terletak didapur.. Lalu kucapai dan terus menuggang motosikal... 

Setibanya aku masjid, alangkah sedihnya apabila aku sendiri tidak dapat menyembahyangkan untuk arwah ayah... Tetapi tak apa, Alhamdulillah ramai juga yang sudi menyembahyangkan arwah ayah... Kebetulan ketika itu dimasjid ada berlangsungnya kursus haji... Fikiran ku begitu rancak memikirkan semua ini...

"Mungkin ini semua adalah balasan yang diberikan kepada ayah yang dulu tidak pernah rasa berat hati untuk mengeluarkan duit untuk mak, dan adik beradikku...."

Selesai sahaja solat jenazah, jenazah ayah diangkat dan dibawa ke tanah perkuburan Islam yang jarakya dari masjid dalam 400 meter... Aku menyuruh abang membawa motosikal yang aku bawa kerana aku mahu ikut jenazah ayah dengan berjalan kaki....

***

Jenazah ayah dibawa masuk ke liang lahat... Aku, abang Zul dan angah menyambut jenazah dengan penuh berhati-hati untuk diletakkan ke dalam liang lahat.. Aku dengan perasaan sedih meletakkan badan ayah ke dalam liang lahat... Alangkah sedihnya aku melihat ketika itu....

Perlahan-lahan aku menolak badan ayah agar pandangannya beralih ke arah kiblat... Secara tidak sengaja, angah telah menolah bahu ayah dengan lutut dengan kuat lalu ditegur oleh orang-orang tua yang memahami keadaan jenazah yang terseksa ketika itu... Kemudian aku dan abang-abang ku, menyendal kepala, badan dan kaki ayah agar terus memangdang kiblat ketika kami menutup semuanya dengan papan dan tanah...

Sebelum ditutup, kami membuka tali pada kain jenazah ayah dan mukanya dibuka agar memandang ke dalam tanah.... Kemudian dengan lafas basmalah aku menutup jenazah ayah dengan papan kemudian ditanam sambil dibantu Along dan abang iparku... Sebak aku melihat ayah ditanam... Semuanya sudah berakhir... Ternyata yang dahulunya aku terfikir bahawa satu hari nanti aku pasti akan kehilangan ayah buat selamanya telah terjadi..... Kelihatan banyak tanah yang diberlebihan ketika menanam jenazah ayah... Sungguh tinggi kubur ayah apabila tanah-tanah tersebut dihimpunkan diatas kubur ayah....

Walaupun ayah dah pergi, aku tetap sentiasa mendoakan ayah agar tenang di Sana.... Only ayah yang faham perasaan aku... Sejak aku kecil... Kini aku telah hilang satu semangat yang dulu sering menjadikan aku tabah dalam apa jua keadaan... kini aku kehilangan tempat mengadu, kehilangan tempat bercerita mengenai hari-hari ku... Dan sekarang, hanya blog dengan blog ini sahaja aku dapat bercerita segala-galanya sebagai penganti arwah ayah... Tetapi bagi ku, ayah tetap tak dapat diganti dengan apa-apa pun... Walaupun dengan segunung harta yang berbillion-billion harganya... Tak akan dapat jadi penganti ayah.... Tidak akan!!! Selamanya ayah tetap satu dan tak ada penganti dalam hidup aku.................................

Mood : Aku terima takdir yang Allah berikan kepada aku....

p/s : Korang hargailah ayah dan mak korang.... Sesungguhnya satu hari nanti apabila korang kehilangannya... Pasti korang akan menyesal seumur hidupp....